Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan zaman Tun Mahathir sudah semakin berlalu dan belliau juga menyatakan sebab mengapa Tun Mahathir sudah kurang releven kepada politik negara masa kini.
“Pertama, ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, dasar pro-Melayu atau Bumiputera yang beliau lakukan kurang berjaya malah, beliau sentiasa menyindir dan memperkecilkan orang Melayu dengan panggilan malas dan mudah lupa,” kata Ahmad menerusi posting di Facebooknya baru-baru ini.
Ahmad berkata, sebelum ini Tun Mahathir tidak mengutamakan dasar-dasar pro-rakyat seperti BR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, kad siswa, Teksi 1Malaysia subsidi bantuan kepada penoreh getah, nelayan atas anggapan ianya satu pembaziran dan boleh memanjakan orang Melayu.
Sewaktu Tun Mahathir menganjurkan Kongres Maruah Melayu, Ahmad menyatakan usaha itu hanyalah sekadar sementara berikutan tiada tawaran konkrit yang ditawarkan kepada orang Melayu selain daripada Dasar Kemakmuran Bersama yang dipelopori oleh Bersatu yang tidak membuahkan hasil sekaligus menjadikan pendidikan dan pendapatan dalam kalangan orang Melayu tidak berkembang.
Selain itu, Ahmad menekankan ketika Tun Mahathir meletak jawatan yang mengakibatkan konflik pentadbiran, konflik tersebut telah menjatuhkan Kerajaan yang diundi rakyat pada Pilihan Raya ke 14 (PRU14).
“Kedua, Tun Mahathir sudah tidak lagi mengurus dinamika politik Malaysia dan jika beliau dan partinya diberi kepercayaan mengemudi Malaysia, kestabilan tidak akan dicapai dan menjadikan parti Pejuang adalah parti ketiga beliau setelah UMNO, keluar UMNO, masuk UMNO, keluar semula UMNO, tubuh PPBM, keluar PPBM, tubuh Pejuang,” ujar Ahmad.
Tun Mahathir telah gagal mengawal Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu Bersatu di dalam Pakatan Harapan (PH) dan beliau juga gagal mengawal DAP dengan doktrin politik yang dapat memastikan parti tersebut menjaga kepentingan Melayu/Bumipitera mengikut dasar, tindakan dan tutur kata.
Sebab ketiga yang dinyatakan Ahmad mengapa Tun Mahathir sudah kurang releven ialah, tindakan Tun Mahathir yang sering melontarkan kata-kata tidak baik kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan terma ‘Cash is King’ namun Ahmad menyentuh sewaktu zaman Tun Mahathir adalah terma ‘Crony is King’ disamping tidak mengutamakan rakyat.
“Idealogi ekonomi dalam mengkayakan segelintir kroni dengan anggapan yang lain akan mendapat faedahnya, sukar untuk menjadi dan hasilnya kroni beliau yang sedikit itu menjadi kaya dan rakyat biasa terutama sekali Melayu/Bumiputera masih kurang berjaya sehingga kini,” katanya.
Disamping itu, Ahmad menyentuh sewaktu pemerintahan Tun Mahathir selama 22 tahun ketika masih dalam UMNO, beliau telah menghasilkan pelbagai dasar yang berjaya namun ada banyak juga yang menemui kegagalan.
Ahmad mengatakan Tun Mahathir seolah lesu dan banyak kontroversi melanda setelah keluar daripada UMNO begitu juga nasib dengan pemimpin lain yang meninggalkan parti berkenaan.
“UMNO melahirkan kepimpinan melalui satu proses tarbiah dan pengalaman yang panjang serta tidak mudah memimpin parti yang mempunyai 22 ribu cawangan dan struktur yang kompleks di peringkat bahagian, negeri dan nasional.
“Proses pembuatan keputusan dalam UMNO juga melalui proses yang panjang dan teliti sebelum diputuskan,” kata Ahmad lagi.
Ketika ini, satu gerakan dengan tujuan untuk menjatuhkan UMNO serta BN sedang berlaku namun PH juga terpalit sama dan menjadikan Tun Mahathir sedang berhadapan dengan perubahan landskap politik yang amat dinamik.
Ahmad menegaskan, karakter Tun Mahathir yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan UMNO tidak akan mampu menjatuhkan parti berkenaan memandangkan UMNO bukan lah milik sesiapa meskipun Tun Mahathir kerana UMNO adalah milik semua orang Melayu yang terus menjadi pelindung dan penjaga kepada Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Beraja.
“Kesimpukannya, kemerosotan Malasyia dalam banyak bidang dan arena adalah banyak berpunca daripada tindak tanduk polituk Tun Mahathir sendiri. Beliau mungkin Bapa Permodenan Malaysia namun beliau kurang berjaya untuk mengemudi Malaysia ke arah modenisasi yang lebih baik buat semua,” tegas Ahmad lagi.
Discussion about this post