Pengulangan Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, agar Parlimen dibuka segera, merupakan satu amaran serta tamparan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, sekali lagi rakyat diutamakan oleh Raja-raja Melayu apabila memberi ingatan kepada Kerajaan bahawa kepentingan Negara, Nyawa serta rakyat diutamakan dalam pentadbiran Negara.
Beliau berkata, Kerajaan Muhyddin menggunakan pelbagai alasan untuk mengelak dari melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mendapatkan formula yang terbaik bagi rakyat keluar dari krisis Pandemik COVID-19.
“Tan Sri Muhyiddin sanggup menolak titah Istana Negara dengan berselindung di bawah pelbagai tafsiran demi menolak titah Istana.
“Kami Rakyat Jelata akan terus menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku, Tan Sri Muhyddin Yasin sebagai Perdana Menteri telah gagal untuk menjaga rakyat dalam waktu darurat, terlalu banyak keputusan yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri tidak membawa rakyat kepada jalan penyelesaian, bahkan rakyat menjadi tidak keruan menjalani kehidupan seharian,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan, Agong sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Tuanku berpandangan, persidangan itu perlu dilakukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan Kerajaan dan Parlimen Malaysia.
Jelas beliau lagi, Tuanku Baginda mengambil ketetapan itu setelah mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, awal hari ini.
Discussion about this post