Masalah air di Kelantan akan diselesaikan jika UMNO diberi peluang pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata itu adalah janji UMNO kepada pengundi di negeri tersebut.
“Bagi saya di Kelantan, masalah air mesti diselesaikan dan itu adalah janji UMNO dan Barisan Nasional (BN). Dalam keadaan ini, pengundi Kelantan perlu membantu Umno untuk sekali ini.
“Cuba beri peluang untuk Umno hanya untuk lima tahun sahaja, jika dirasakan tidak okay, boleh tukar semula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengenalan calon-Calon pemilihan UMNO sesi 2023-2026, di Kota Bharu, hari ini.
Tambah Presiden UMNO itu, pihak tertentu tidak boleh menyalahkan Allah dalam isu air keruh, sebaliknya sebagai pemimpin perlu berusaha memberi air bersih kepada rakyat.
“Kita hanya perlukan masa lima tahun untuk BN membuktikan kita mampu memberi bekalan air bersih kepada rakyat di negeri ini.
“Jadi berilah peluang kepada UMNO dan BN untuk kali ini,” ujarnya.
Discussion about this post