SUSULAN pemansuhan syarat pengeluaran i-Sinar yang diumumkan kerajaan Khamis lalu, banyak pihak dilihat ingin mengambil kredit daripada langkah itu yang ternyata mendapat sambutan baik rakyat.
Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid, bagaimanapun mendakwa desakan pemansuhan syarat itu adalah usaha yang dibuat Umno dan Barisan Nasional (BN).
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akhirnya akur dengan tuntutan rakyat yang dibawa BN itu.
Menurutnya, sebelum ini ada pemimpin kerajaan sendiri yang menghentam Umno dan BN kerana memperjuangakan lanjutan moratorium dan pengeluaran akaun 1 KWSP, namun kini mula mengambil kredit bahawa ia adalah hasil perjuangan mereka.
“Tidak mengapalah jika mereka ingin mengambil nama, kerana apa yang Umno/BN perjuangankan adalah untuk kepentingan rakyat, bukannya mencari keuntungan politik.
“Keputusan terbaru KWSP memansuhkan syarat-syarat pengeluaran i-Sinar ini membuktikan saranan yang dikemukakan Umno/BN boleh dilakukan dan terbukti ia bukan permainan politik,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini
Menurutnya, i-Sinar adalah satu keperluan kepada pencarum yang ketika ini berdepan dengan situasi sukar, selain syarat yang dikenakan sebelum ini jelas tidak adil dan menguntungkan kelompok tertentu saja.
Katanya, perubahan syarat itu bukan sahaja membuktikan apa yang disarankan Umno dan BN boleh dilakukan, tetapi juga membuktikan kerajaan mula gusar dengan suara rakyat yang sememangnya mahukan kebenaran pengeluaran dibuat tanpa dikenakan sebarang syarat.
“Kerajaan perlu peka dengan permasalahan dan kehendak rakyat jika mahu terus kekal relevan di hati rakyat,” katanya.
Discussion about this post