Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat malam ini telah mengambil beberapa keputusan seleras dengan keputusan YDP Agong untuk menolak permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Menurut Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara keputusan yang telah diambil oleh MKT pada malam ini ialah mendokong sepenuhnya titah dan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.
Menurut Ahmad Zahid lagi MKT UMNO juga turut mencadangkan supaya Kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah tegas”
MKT UMNO juga turut mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP. Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional serta turut menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan political consensus katanya lagi.
Berikut adalah kenyataan penuh Presiden UMNO malam ini
KENYATAAN MEDIA
Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada hari ini, 26 Oktober 2020 (Isnin) telah memutuskan perkara-perkara berikut:
1. Menjunjung kasih di atas keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan. Bagi UMNO, keputusan yang turut diperbincangkan dengan Majlis Raja-Raja tersebut adalah amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat.
2. Mendokong sepenuhnya titah dan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.
3. Menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam Kerajaan Perikatan Nasional dan juga parti-parti pembangkang.
4. Mencadangkan supaya Kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah.
5. Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP. Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional. UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan political consensus.
6. Memastikan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO untuk memperkasakan Muafakat Nasional dapat terus direalisasikan.
Discussion about this post