UMNO perlu memperbetulkan sentimen masyarakat terhadap parti itu yang sering didakwa mengamalkan rasuah, kotor dan gila kuasa sekiranya mahu meneruskan perjuangan dan kekal relevan di mata rakyat.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi mendakwa, naratif itu menyebabkan prestasi UMNO terus merosot terutama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15.
“Paling penting naratif mesti tepat dan ke arah landasan betul supaya mereka faham bahawa UMNO sekarang telah membuat satu perubahan bukannya parti lama.
“Kita bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kalau kita tengok balik orang Melayu yang sokong BN (Barisan Nasional) hanya 33 peratus.
“Apabila parti Melayu tetapi orang Melayu tidak sokong mesti ada sesuatu yang tidak kena,” katanya dalam satu wawancara.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Sinar Live bertajuk ‘PRN: Zahid mampu kembalikan maruah UMNO?’
Menurut Nizham, jika rakyat terus menolak UMNO tidak mustahil daripada 30 kerusi akan jadi 20, silap-silap empat atau tiga dan akhirnya terkubur.
Discussion about this post