Ketetapan berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu disegerakan telah mencapai kesepakatan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 baru-baru ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO kini cuma menunggu masa untuk memasuki gelanggang penentuan bagi menjulang kembali Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan dominan.
“Rakyat menaruh harapan tinggi kepada BN untuk mengembalikan kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan, kemajuan yang dirampas daripada mereka sejak 2018.
“Tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) telah pun berlangsung dalam keadaan pandemik dan terbukti ia mampu dijayakan secara selamat dan teratur,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Tambah Pengerusi Barisan Nasional itu, Perhimpunan Agung UMNO 2021 turut meyakinkan BN mampu kembali sebagai sebuah kerajaan dominan tanpa perlu mengharapkan ehsan seteru politik.
“Itu tidak langsung memperlihatkan sebuah kesombongan mahupun keangkuhan, tetapi ia adalah realiti dalam kancah politik semasa dan mengapa PRU-15 perlu diadakan.
“Apakah UMNO perlu akur bersama dengan musuh selepas segala kata-kata nista mereka lemparkan terhadap parti keramat agama, bangsa dan negara?
“Apa lagi bukti diperlukan bagi mengesahkan muslihat mereka terhadap UMNO selepas apa disaksikan dalam PRN Johor dan Melaka baru-baru ini?
“Apakah bukti yang diperlukan lagi untuk menyatakan UMNO dan BN telah kembali diyakini oleh rakyat untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran?
“Dan mengapa pula ada pihak begitu pasti mereka yang tidak keluar atau pulang mengundi di Johor dan Melaka bukan penyokong UMNO/BN?” tambahnya.
Menurut Ahmad Zahid, beliau dimaklumkan terdapat penyokong UMNO/BN tidak dapat keluar atau pulang mengundi pada PRN Johor disebabkan kekangan kewangan dan sebagainya.
Sehubungan itu katanya adalah tidak wajar untuk menganggap BN belum berada dalam kedudukan terbaik untuk berdepan PRU15 hanya kerana dipengaruhi sentimen tertentu.
“Bukankah seharusnya ada optimism berdasarkan apa yang telah dipersembahkan pada banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) dan tiga PRN yang sudah berlangsung.
“Optimism itu bagaimanapun tidaklah pada kadar yang keterlaluan kerana masih ada sedikit lagi ruang di sana sini yang boleh ditambah baik secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pembangkang Malaysia adalah satu-satunya pembangkang dalam dunia yang tidak mahu pilihan raya umum diadakan.
“Menawarkan memorandum persefahaman (MoU) 2.0 kepada kerajaan demi memastikan PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat.
“Mereka mahu membeli masa untuk mencipta tipu daya dan fitnah-fitnah baharu selepas segala penipuan mereka diketahui dan ‘direject’ oleh rakyat.
“Apakah UMNO/BN begitu naif perlu berkompromi dan membantu menjayakan strategi dan muslihat mereka?
“Sedangkan mereka pasti tidak berbuat demikian jika UMNO/BN yang berada dalam kedudukan mereka iaitu ditolak oleh rakyat,” tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Bagi Ahmad Zahid, PRU15 bukan semata-mata tentang politik, sebaliknya misi rakyat mengembalikan kemakmuran, kestabilan, kesejahteraan dan kemajuan di bumi tercinta Malaysia.
Discussion about this post