Usanita merupakan platform khas buat wanita luar bandar bagi memulihkan perniagaan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, platform khas itu disediakan bagi membantu usahawan wanita luar bandar khususnya golongan B40 agar selari dengan arus perniagaan semasa yang berasaskan digital.
“Sebelum ini, dalam usaha memperkasakan usahawan di luar bandar, kementerian telah memperkenalkan program [email protected] (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) bagi membantu golongan berkenaan memasarkan produk secara atas talian.
“Inisiatif ini adalah strategi di bawah Teras Dua Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar Membangun Produk dan Memperluas Pasaran Termasuk Pemasaran Perniagaan Dalam Talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perintis Usanita, Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB di sini pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Adzliana Hasan dan usahawan serta selebriti, Datuk Rosyam Nor.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, KPLB mengambil serius perkembangan dan pembangunan usahawan luar bandar khususnya dalam aspek pemasaran produk mereka dalam talian yang kini menjadi saluran yang sangat berkesan.
Tegas beliau, usahawan di luar bandar perlu mengambil peluang pemasaran secara digital dan tidak boleh ketinggalan dalam meluaskan pasaran produk mereka.
Discussion about this post