Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perbahasan sepentas dua tokoh politik tanahair secara terbuka dilihat mampu menjawab pelbagai persoalan yang timbul dalam kalangan rakyat.
Malah katanya beliau tidak menolak kemungkinan jika idea Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim disatukan mampu menjadi satu bentuk kerangka dasar negara.
Sehubungan itu, katanya, wacana intelektual itu seharusnya diadakan lebih kerap agar dapat beri kefahaman kepada rakyat dan bukan merungkai sesuatu permasalahan kumpulan tertentu sahaja.
“Satu perdebatan yang baik dan saya beranggap ianya merupakan satu wacana yang intelektual walaupun tidak ada cadangan yang konkrit, yang dijadikan sebagai kesimpulan tetapi cadangan-cadangan yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Najib terhadap isu Sapura itu jelas lebih menghubungi.
“Dan tentunya jelas lebih penting apabila masa depan negara apakah hala tuju yang mahu dilakukan ini cukup jelas bahawa kestabilan politik adalah punca kepada pembangunan negara dari segi perkembangan ekonomi dan juga kemakmuran rakyat dan tentunya perdebatan ini pada hemat saya harus diteruskan,” kata Zahid.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya Debat Perdana antara Najib dan Anwar malam tadi.
Dalam pada itu katanya, walaupun mereka berbeza pendapat namun semua orang perlu meraikannya sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
“Dan saya fikir untuk menterjemahkan demokrasi lebih ramai tokoh-tokoh siapapun daripada pihak kerajaan ataupun pihak sebelah sana harus diberikan peluang untuk melontarkan pandangan.
“Biarpun berbeza kita harus meraikan biar rakyat menilai dan memilih manakah pemimpin yang terbaik jika mereka dipilih nanti,” katanya lagi.
Apabila ditanya adakah debat ini mampu mempengaruhi pemikiran rakyat untuk memilih pilihanraya, ini jawapan Zahid.
“Kalau diadakan dalam bentuk kesinambungan, saya yakin akhirnya dipenghujung sesi ini ia akan dapat mengubah pemikiran rakyat siapa yang lebih berpijak dibumi nyata,” katanya.
Terdahulu Anwar yang juga Presiden PKR sepentas dengan Najib yang juga bekas Perdana Menteri keenam dalam program Debat Perdana yang julung kali diadakan malam ini yang mengupas pelbagai isu panas berkaitan negara.
Gelanggang debat antara Ketua Pembangkang dan bekas Presiden UMNO itu berlangsung di Auditorium MATIC.
Dalam pada itu, kedua-dua tokoh negarawan itu tidak asing buat Ahmad Zahid kerana mereka merupakan sahabat lama dalam UMNO sebelum ini.
Discussion about this post