Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru jentera parti itu bekerja lebih kuat bagi menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan datang.
Katanya, kemenangan kerusi DUN Tioman akan menjadi titik tolak kepada pengukuhan barisan kepimpinan kerajaan Pahang.
Menurut beliau, pengundi yang tidak berparti, kumpulan anak muda perlu dipertingkatkan kesedaran supaya mereka menyokong BN.
“Kita sudah belajar daripada pengalaman PRU15, tiada parti yang boleh memberi jaminan boleh menang (bentuk kerajaan). Jadi kita kena kerja kuat.
“Kalau kita lihat semangat sudah terbaik dan harap BN boleh kekalkan kemenangan.
“Golongan belia pula jangan tidak kisah pasal undi kerana undi mereka penentu kepada pengukuhan kerajaan sekali gus dapat mensejahterakan rakyat,” katanya mengadakan Program Santai Anak Muda Mukim Pontian di Jeti D’Kuala Pontian.
Wan Rosdy turut menyarankan golongan terbabit keluar mengundi pada 7 Disember ini.
Dalsm masa sama, beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada PH kerana memberi laluan kepada BN sepanjang kempen dan memberi sokongan.
“Kita ikhlas, PH pun ikhlas… terima kasih sebab terima (kerjasama) tanpa sebarang syarat, jadi tak akanlah kita tak boleh pertimbang beberapa perkara.
“Kita sama-sama kerja kuat untuk memastikan kerajaan Pahang yang terbentuk kini lebih kukuh dan mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Discussion about this post