Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim mendesak kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim untuk campur tangan mengenai isu sogokan ‘sedekah’ yang berlaku pada Pilihanraya Umum ke-15.
Ianya bagi memastikan siasatan bebas dapat dilakukan terhadap dakwaan yang seperti mana diakui kepimpinan Pas sendiri baru-baru ini.
Katanya, rakyat sedang menilai sejauh mana reformasi demokrasi dapat ditunaikan bagi membanteras rasuah, korupsi dan salah guna kuasa yang dilaung-laungkan selama ini.
“Bagaimana kerajaan dapat memastikan badan berwajib bebas melakukan siasatan dan pendakwaan setelah berpuas hati dengan siasatan tersebut. Bagaimana pula pendakwa raya bertindak setelah laporan siasatan diserahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 adalah sedekah.
Beliau mengulas perkara itu sebagai reaksinya terhadap tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas.
Walaubagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.
Mengulas lanjut, Norliza berkata, amat mengejutkan apabila Presiden Pas membuat kenyataan terbuka bahawa ‘sedekah’ sewaktu pilihan raya bukan satu kesalahan manakala Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin pula mengatakan apa pun pemberian bergantung kepada niat seolah-olah mengiyakan kenyataan Abdul Hadi.
Tambahnya, perlakuan ‘sedekah’ kepada pengundi muda yang dijerat seawal penghantaran menerusi beratus atau ribuan bas membawa mereka pulang mengundi kemudian diikat dengan akad sumpah satu pelakuan mengajar mereka kepada suatu perbuatan tidak bermoral dan cenderung kepada jenayah yang tidak boleh dimaafkan.
“Kerajaan Malaysia Madani wajib bertegas dalam membanteras pihak-pihak tidak bertanggung jawab mendoktrin ‘sedekah’ ke dalam pemikiran anak-anak muda ini. Perlu diingat, anak muda pewaris masa hadapan negara. Rosak pemikiran anak muda akan rosaklah masa hadapan negara kita,” katanya.
Discussion about this post