Bagi merancakkan pembangunan ekonomi di Paya Rumput, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Datuk Rais Yasin bercadang untuk mewujudkan sebuah pusat perniagaan setempat di Stadium Hang Jebat.
Beliau yakin rancangan itu dapat dilaksanakan segera bagi merancakkan semula ekonomi orang kampungnya.
“Jadi saya ingin membuat satu ‘uptown’, tempatnya di Stadium Hang Jebat, itu adalah kawasan yang cantik untuk dibangunkan.
“Dulunya mungkin sukar kerana (pengurusannya) di bawah Perbadanan Stadium, sekarang ini sudah diambil alih oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.
“Jadi kalau boleh berbincang dengan Majlis, saya ingin mengajak anak-anak muda untuk bangunkan tempat itu,” katanya.
Kewujudan pusat perniagaan setempat itu mampu mengubah Paya Rumput menjadi kawasan separa bandar yang menyaksikan aktiviti perniagaan berlangsung, dan digiatkan lagi dengan kehadiran orang ramai dari dalam dan luar.
“Melaka, alhamdulillah, di bawah (bekas) Ketua Menteri (Datuk Seri Sulaiman Md Ali) beliau membuatkan semua bebas berniaga,” tambah Rais.
Discussion about this post