Pelbagai cara yang dilakukan untuk meraih undi termasuklah menggunakan bahasa yang menjadi kegunaan penduduk setempat.
Itulah yang dilakukan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di DUN Sungai Balang menggunakan Bahasa Jawa untuk meraih undi pengundi di DUN itu yang sebahagian besarnya terdiri daripada suku Melayu Jawa.
Pertandingan empat penjuru di kerusi N16 itu menyaksikan pertembungan BN, PN, PKR dan Pejuang.
Ahmad Zahid yang secara spontan berbahasa Jawa itu bagi membantu calonnya, Selamat Takim dalam mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang yang menjadi kubu kuat parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Calon yang lebih dikenali sebagai Cikgu Selamat itu turut dibantu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Ketua UMNO Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.
“Dalam teori komunikasi, kita mesti bercakap bahasa mereka (khalayak) kita mesti bercakap dalam bahasa itu
“Kalau khalayak itu memahami dan amat dekat di hati mereka dengan bahasa apa pun yang digunakan termasuk Mandarin dan Tamil, maka sebaik mungkin kita gunakan bahasa yang dekat di hati mereka
“Maka tidak salah kalau saya kebetulan memang lancar dalam bahasa itu (Jawa), saya menggunakan perkataan itu (Jawa) untuk saya gunakan mengikut teori komunikasi itu,” katanya dalam sidang media.
Tambah Zahid, beliau optimis BN akan dapat membentuk kerajaan dengan kemenangan 2/3 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
“Kita yakin kita boleh menang dengan jumlah (kerusi) yang mencukupi untuk kita membentuk kerajaan, Insya-Allah kita yakin itu.
“Tetapi kita mengharapkan untuk memperolehi majoriti dua pertiga, bagi memperolehinya, kita memerlukan 38 kerusi dan usaha itu sudah dijalankan.
“Namun kita tahu serangan yang bertubi-tubi sedang menghala bukan sahaja terhadap produk-produk kita, iaitu calon-calon BN, tetapi isu-isu nasional dibawa untuk diskredit kita dan kita menjangkakan itu semua.
“Namun kita yakin kebijaksanaan pengundi-pengundi di Johor yang merasakan bahawa mereka telah terpengaruh dengan tipu daya, janji-janji manifesto dan juga fitnah yang telah dilontarkan kepada kepimpinan BN ketika itu,” katanya lagi.
Bagaimanapun bagi Zahid, penekanan dan iltizam yang ditunjukkan oleh Datuk Hasni Mohamad mampu menangkis semua tohmahan ini.
“Suasana di Johor ini berbeza dan kita lihat biarpun Datuk Seri Hasni, calon Menteri Besar kita tentunya beliau merupakan pilihan yang tepat dan tiada isu-isu yang melibatkan isu kredibiliti, jauh sekali melibatkan prestasi beliau selama tempoh singkat ini menjadi Menteri Besar Johor.
“Pada hemat saya, faktor-faktor itu positif dengan tidak overconfidence tapi dengan penuh keyakinan kita merasakan bahawa kita bukan hanya dapat membentuk kerajaan tetapi kita yakin jika dokongan yang berkekalan dan berterusan daripada pengundi-pengundi maka azam kita untuk mendapat dua pertiga majoriti akan tercapai.”
Discussion about this post