Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong penuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh jika jangkitan Covid-19 tidak ada tanda penurunan.
Ahmad Zahid berkata, beliau yakin majoriti rakyat Malaysia turut sependapat dengan Sultan Johor dalam pelaksanaan PKP penuh.
Malah, beliau turut menyatakan, ramai pemimpin UMNO yang turut mengetengahkan saranan ini kepada Kerajaan Persekutuan selama ini.
“Menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, iaitu kerajaan harus mempertimbangkan lockdown penuh jika jumlah kes jangkitan Covid-19 tiada tanda penurunan.
“Terima kasih Tuanku kerana prihatin dan mengambil berat keadaan rakyat yang terus diancam pandemik Covid-19. Tuanku memahami pandemik Covid-19 yang masih gagal ditangani bukan sahaja mengancam keselamatan rakyat.
“Malah, menyebabkan ramai ditimpa kesusahan. Barisan hadapan negara juga kian kepenatan dan kegelisahan,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.
Semalam, Sultan Johor bertitah: “Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit yang melarat dan berterusan”.
Bukan itu sahaja, Baginda turut bersimpati dengan semua petugas barisan hadapan terutama kakitangan perubatan yang terpaksa menanggung bebanan besar virus itu.
“Kepenatan dan kegelisahan mereka jelas kelihatan, namun mereka tetap menjalankan tugas sebaik mungkin. Ingat, bukan Covid-19 sahaja penyakit yang perlu mereka tangani.
“Kasihanilah mereka. Kita semua harus bersatu memainkan peranan untuk mengurangkan beban mereka dan putuskan rantaian jangkitan demi kebaikan kita semua,” titah baginda.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau dan barisan kepimpinan UMNO turut mengambil maklum titah baginda segenap lapisan masyarakat perlu bersikap komited kepada saranan self-lockdown.
Katanya, seluruh rakyat wajar menuruti nasihat baginda kerana ia antara langkah yang dapat memutuskan rantaian jangkitan.
“Seperti saya nyatakan sebelum ini kerajaan masih perlu memainkan peranan membantu rakyat supaya dapat melakukan self-lockdown.
“Rakyat perlu dibantu seadanya supaya dapat duduk tenang di rumah dan tidak perlu ke sana ke sini untuk memastikan keperluan diri dan keluarga.
“Semoga titah baginda DYMM Sultan Johor ini mendapat perhatian semua pihak terutama Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Discussion about this post